Senarai Hadith

Bil Hadith Tarikh
1 Memperelokkan Suara ketika Membaca al-Qur'an
 
Daripada Abu Musa al-Asy‘ari RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya, “Sesungguhnya engkau telah dikurniakan oleh suara yang merdu dan lunak, seperti suara seruling keluarga Nabi Daud AS.
 
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Di dalam riwayat Muslim disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, (Jika engkau melihat (atau mengetahui) aku mendengar bacaanmu semalam (nescaya engkau gembira).
 
 
May 02, 2016
2 Akhlak yang Mulia
 
Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA katanya, tidaklah Rasulullah SAW seorang yang bersifat keji, dan tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji, Baginda bersabda, “Sesungguhnya di antara orang-orang yang terpilih di antara kamu ialah orang yang paling mulia akhlaknya.”
 
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
 
Apr 20, 2016
3 Merendah Diri Kepada Allah SWT
 
Daripada Muaz bin Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang meninggalkan pakaian (yang indah, cantik) dengan tujuan merendah diri kepada Allah, sedangkan ianya mampu untuk berbuat demikian, maka Allah memanggilnya di hari kiamat di hadapan khalayak ramai, kemudian Allah menyuruhnya memilih pakaian yang dia suka daripada berbagai-bagai pakaian iman.”
 
 
(Hadith Riwayat at-Tirmizi, katanya Hadith Hasan)
 
 
Apr 11, 2016
4 Tiga Perkara Yang Dikasihi Oleh Allah SWT
 
Daripada Saad bin Abi Waqas RA katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-Nya yang bersifat taqwa, kaya (jiwa) serta tidak menonjolkan diri.”
 
(Hadith Riwayat Muslim)
 
Yang dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta seperti hadith yang telah lalu.
 
 
Apr 05, 2016
5 Mengucapkan 'Bismillah' Ketika Makan
 
Daripada Aishah RA katanya, “Rasulullah SAW menghadapi hidangan bersama enam orang sahabat Baginda, tiba-tiba datang seorang arab (badwi) lalu makan makanan tersebut dengan dua kali suapan sahaja. Lalu Baginda bersabda, “Sekiranya orang itu membaca Bismillah sebelum ia makan nescaya makanan itu mencukupi untuk semua (ada keberkatannya pada makanan tersebut).”
 
(Hadith Riwayat at-Tirmizi, katanya hadith hasan sahih)
 
 
Mar 29, 2016
6 Mimpi Melihat Rasulullah SAW
 
Daripada Abu Hurairah RA lagi katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bermimpi melihat aku sesungguhnya ia akan melihat aku di waktu jaga atau seolah-olah ia melihat aku semasa jaga, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupaiku”. (Syaitan tidak dapat menjelma seperti Baginda Rasulullah SAW).
 
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Mar 17, 2016
7 "Tabiat Suka Meminta-Minta"
 
Daripada ibnu Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tabiat suka meminta-minta menjadi kebiasaan seseorang daripada kamu (umat) sehingga ia menemui Allah di akhirat sedangkan mukanya tidak mempunyai daging (hina)”.
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
 
 
Mar 11, 2016
8 Kelebihan Bertolak-Ansur Dalam Hal Jual Beli
 
Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Allah memberi rahmat kepada orang yang bermurah hati ketika berjual beli dan ketika meminta haknya”.
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
 
 
Mar 04, 2016
9 Kelebihan Solat Sunat Witir
 
Daripada Ibn Umar RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Jadikanlah sembahyang witir sebagai sembahyang terakhir bagi kamu pada waktu malam”.
 
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Feb 25, 2016
10 Kelebihan Memberi Salam Kepada Kanak-Kanak
 
Daripada Anas RA, satu ketika dia berjalan melalui kumpulan kanak-kanak lalu dia memberi salam kepada mereka dan dia berkata : “Bahawa Rasulullah SAW sentiasa lakukan seperti yang aku lakukan ini (iaitu memberi salam kepada kanak-kanak).”
 
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Feb 22, 2016
11 Kelebihan Solat Fardhu Subuh dan Asar
 
Daripada Abu Zuhair iaitu Umarah binti Ruwaibah RA katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak masuk neraka seseorang yang sembahyang sebelum terbit matahari dan juga sebelum terbenamnya, iaitu sembahyang subuh dan sembahyang asar”.
 
 
(Hadith Riwayat Muslim)
 
 
Feb 12, 2016
12 Nilai Akhlak yang Baik
 
Daripada an-Nawas bin Sam ‘an RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan yang bimbang dalam hati dan engkau tidak mahu perbuatan itu diketahui orang lain.”
 
(Hadith Riwayat Muslim)
 
Keterangan :
Kalimah “al-Birru” (kebajikan) merangkumi semua perbuatan dan amalan yang baik dan makruf, kecil atau besar, sedikit atau banyak seperti kalimah “al-Ismu” (dosa) merangkumi semua amalan dan perbuatan yang jahat.
 
 
Feb 02, 2016
13 Kelebihan Memelihara Amalan Soleh
 
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA katanya, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, “Wahai ‘Abdullah, Janganlah kamu menjadi seperti si fulan itu, dahulu dia sentiasa sembahyang malam, tapi kini dia tidak sembahyang malam.”
 
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Jan 27, 2016
14 "Malu itu Semuanya Baik"

Daripada Imran bin Husain RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Malu itu hanya menghasilkan kebaikan.” Atau Junjungan bersabda : “Malu itu semuanya baik.”

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Muslim juga menyatakan sifat malu itu akibatnya adalah baik, dan katanya lagi Rasulullah SAW bersabda, “Malu itu keseluruhannya adalah baik.”

Jan 15, 2016
15 Adab 'Memberi Salam'
 
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan, orang yang berjalan pula hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang tidak ramai hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai jumlahnya.”
 
 
Dalam riwayat Imam al-Bukhari disebutkan “Dan orang yang muda kepada orang yang tua.”
 
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
 
Jan 05, 2016
16 Hukum Makan Sambil Bersandar
 
Daripada Abu Juhaifah Wahab bin Abdullah RA katanya sabda Rasulullah SAW, “Aku tidak makan sambil bersandar.”
 
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
 
 
Dec 29, 2015
17 Jauhkanlah dari Sifat Sombong dan Bangga Diri
 
Daripada Harithah bin Wahab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Mahukah aku memberitahu kepada kamu siapakah ahli-ahli neraka?  mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakan untuk kebaikan.”
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Dec 14, 2015
18 Adab Ketika Masuk ke Rumah Orang Lain
 
 
Daripada Abu Musa al-Asy ‘ari RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Meminta izin untuk masuk ke rumah orang lain hendaklah dilakukan sebanyak tiga kali. Jika kamu diberi keizinan maka masuklah dan jika kamu telah lakukan yang demikian, tetapi tidak ada jawapan maka hendaklah kamu balik.”
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Dec 03, 2015
19 Kelebihan Membaca Surah al-Mulk
 
 
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sebahagian daripada al-Qur’an ada satu surah yang jumlah ayatnya tiga puluh ayat semuanya, surah ini dapat memberikan pertolongan kepada orang yang membacanya sehingga diampunkan segala dosa-dosanya, surah itu ialah “al-Mulk”.
 
(Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi katanya bahawa hadith hasan)
 
 
Nov 27, 2015
20 'Rumah Seperti Kubur'
 
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Janganlah kamu menjadikan rumahmu itu seperti kubur (tidak pernah kamu sembahyang sunat ataupun membaca al-Qur’an dan ibadat lain di dalamnya). Sesungguhnya syaitan akan lari dan menjauhkan diri daripada mana-mana rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah”.
 
(Hadith Riwayat Muslim)
 
 
Nov 20, 2015